Pada hari Selasa, 13 Mei 2026, UTM CDEX telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Perolehan dan Sistem e-Perolehan secara dalam talian. Kursus yang bertujuan memberi kefahaman tatacara perolehan ini dihadiri oleh 26 orang staf Bekerja Dari Rumah (BDR) selaras inisiatif penjimatan kos tenaga Kerajaan Persekutuan dalam mendepani isu global. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pn. Nur Aidatul Faeza selaku pengerusi majlis.
Sesi pertama dikendalikan oleh En. Jeffri Selamat dari Jabatan Bendahari yang mengupas prosedur perolehan UTM berpandukan Pekeliling Perolehan Kerajaan dan Arahan Perbendaharaan. Perolehan di UTM merangkumi tiga fasa utama: perancangan, proses perolehan, dan pentadbiran kontrak. Tahap perancangan adalah paling kritikal, menuntut PTJ merancang keperluan tahunan untuk kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU). Selain spesifikasi tepat dan kelulusan UTM Digital untuk perolehan ICT, integriti turut ditegaskan menerusi konsep “bukan sahaja bersih tetapi dilihat bersih” bagi mengelakkan amalan rasuah. Beliau juga merungkai perbezaan struktur dana kerajaan dan sumber dalaman serta pihak berkuasa melulus.
En. Jeffri turut mengetengahkan isu-isu lazim di PTJ seperti kegagalan perancangan awal yang mengundang pembelian tergesa-gesa, ketidakcukupan bajet, dan kelulusan tanpa anpa kuasa yang sah. Beliau memberi amaran terhadap amalan “pecah kecil perolehan” untuk mengelak sebut harga kerana ia adalah kesalahan audit yang serius. Peserta juga diingatkan untuk memantau pengeluaran Pesanan Tempatan (PT) sebelum barang dihantar oleh syarikat berkod bidang yang tepat. Tambahan pula, bermula 1 Oktober 2025, pematuhan cukai diperketatkan di mana perolehan melebihi RM50,000 mewajibkan syarikat memiliki Tax Compliance Certificate (TCC) daripada LHDN.
Sesi kedua diteruskan oleh En. Harith Hasbullah dari Syarikat Ikhlas Kekal Sdn Bhd yang memperkenalkan Sistem e-Perolehan UTM menerusi carian “EP UTM” dalam ruangan carian Google agar pengguna mendapat pautan yang betul untuk membolehkan pengguna log masuk ke dalam Sistem e-Perolehan UTM menggunakan ID SSO (Single Sign-On) mereka. Beliau membimbing peserta secara terperinci proses permohonan pembelian terus merangkumi modul Permohonan Pembelian, Senarai Perolehan, dan Penilaian Pembelian Terus. Apabila pengguna memasukkan maklumat perolehan, kuantiti, harga, pusat kos, dan kod SODO, sistem akan mengira kos keseluruhan secara automatik. Permohonan itu kemudian dihantar kepada pelulus PTJ melalui e-mel. Selepas sah diluluskan, PT dicetak bagi melengkapkan proses penerimaan dan pembayaran di Bendahari.
Kursus selama 3 jam ini diakhiri dengan sesi penutup oleh pengerusi majlis yang merakamkan penghargaan kepada kedua-dua penceramah atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat kepada warga UTM CDex.
Related Articles
Program Bacaan Yassin & Tahlil Ringkas – Jan 2024
Pengerusi KAPELLAWebmaster & JK Promosi UTM CDexPada 11 Januari 2024, Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) dengan kerjasama Kelab KAPELLA telah mengadakan Progam Bacaan Yassin dan Tahlil yang diadakan khusus buat Allahyarham Prof. Dato' Abu...
Cenderahati Aidilfitri
Bendahari KAPELLAPegawai Tadbir (Pereka), UTM CDexWebmaster UTM CDexBersempena Aidilfitri 2024, Kelab Keluarga Kapella telah mengambil peluang menyampaikan cederahati kepada setiap ahli. Cenderahati yang berupa sebotol minyak masak dan sebotol perisa minuman ini...
Kursus Penulisan Minit Mesyuarat
Setiausaha PejabatPenolong PendaftarWebmaster UTM CDex Kursus Penulisan Minit Mesyuarat telah diadakan pada 4 April 2024 (Khamis) jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Makmal Digital, UTM CDex, UTM Johor Bahru. Seramai 12 orang Staf UTM CDex telah...





