Pada hari Selasa, 13 Mei 2026, UTM CDEX telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Perolehan dan Sistem e-Perolehan secara dalam talian. Kursus yang bertujuan memberi kefahaman tatacara perolehan ini dihadiri oleh 26 orang staf Bekerja Dari Rumah (BDR) selaras inisiatif penjimatan kos tenaga Kerajaan Persekutuan dalam mendepani isu global. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pn. Nur Aidatul Faeza selaku pengerusi majlis.
Sesi pertama dikendalikan oleh En. Jeffri Selamat dari Jabatan Bendahari yang mengupas prosedur perolehan UTM berpandukan Pekeliling Perolehan Kerajaan dan Arahan Perbendaharaan. Perolehan di UTM merangkumi tiga fasa utama: perancangan, proses perolehan, dan pentadbiran kontrak. Tahap perancangan adalah paling kritikal, menuntut PTJ merancang keperluan tahunan untuk kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU). Selain spesifikasi tepat dan kelulusan UTM Digital untuk perolehan ICT, integriti turut ditegaskan menerusi konsep “bukan sahaja bersih tetapi dilihat bersih” bagi mengelakkan amalan rasuah. Beliau juga merungkai perbezaan struktur dana kerajaan dan sumber dalaman serta pihak berkuasa melulus.
En. Jeffri turut mengetengahkan isu-isu lazim di PTJ seperti kegagalan perancangan awal yang mengundang pembelian tergesa-gesa, ketidakcukupan bajet, dan kelulusan tanpa anpa kuasa yang sah. Beliau memberi amaran terhadap amalan “pecah kecil perolehan” untuk mengelak sebut harga kerana ia adalah kesalahan audit yang serius. Peserta juga diingatkan untuk memantau pengeluaran Pesanan Tempatan (PT) sebelum barang dihantar oleh syarikat berkod bidang yang tepat. Tambahan pula, bermula 1 Oktober 2025, pematuhan cukai diperketatkan di mana perolehan melebihi RM50,000 mewajibkan syarikat memiliki Tax Compliance Certificate (TCC) daripada LHDN.
Sesi kedua diteruskan oleh En. Harith Hasbullah dari Syarikat Ikhlas Kekal Sdn Bhd yang memperkenalkan Sistem e-Perolehan UTM menerusi carian “EP UTM” dalam ruangan carian Google agar pengguna mendapat pautan yang betul untuk membolehkan pengguna log masuk ke dalam Sistem e-Perolehan UTM menggunakan ID SSO (Single Sign-On) mereka. Beliau membimbing peserta secara terperinci proses permohonan pembelian terus merangkumi modul Permohonan Pembelian, Senarai Perolehan, dan Penilaian Pembelian Terus. Apabila pengguna memasukkan maklumat perolehan, kuantiti, harga, pusat kos, dan kod SODO, sistem akan mengira kos keseluruhan secara automatik. Permohonan itu kemudian dihantar kepada pelulus PTJ melalui e-mel. Selepas sah diluluskan, PT dicetak bagi melengkapkan proses penerimaan dan pembayaran di Bendahari.
Kursus selama 3 jam ini diakhiri dengan sesi penutup oleh pengerusi majlis yang merakamkan penghargaan kepada kedua-dua penceramah atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat kepada warga UTM CDex.
Related Articles
KAPELLA ATV ADVENTURE RIDE 2022
Pengerusi KAPELLA 2022/2023WebmasterKelab Keluarga Pengajaran dan Pembelajaran (KAPELLA) telah menganjurkan satu aktiviti lasak ‘ATV ADVENTURE RIDE 2022’ pada 26 November 2022 bertempat di Seelong, Kulai. Staf yang terlibat mula berkumpul di Seelong ATV Trail seawal...
GOTONG ROYONG EKSA ZON OREN UTM CDex BIL.2/2022
(Ketua Zon)Jurugambar Rasmi Webmaster & AJK Promosi (EKSA)Jawatankuasa EKSA Zon Oren (2021/22) Pusat Pemajuan dalam Pendidikan Digital dan Fleksibel (UTM CDex)Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Zon Oren, Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan...
RUANG KERJA STAF TERBAIK ZON OREN
Ketua ZonWebmaster & JK Promosi UTM CDexJurugambar RasmiJawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Zon Oren, Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) telah mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Ruang Kerja Staf Terbaik setiap...





