Peluang Mengikuti Pengajian Postdoctoral melalui Program MyMentor KPT
JOHOR BAHRU 12 Julai 2017 – Satu sesi Taklimat Tawaran untuk Mengikuti Pengajian di peringkat Pasca Kedoktoran (Post Doctoral) di bawah program khas MyMentor tajaan KPT telah diadakan pada 12 Julai 2017 yang lalu bertempat di Dewan UTMLead, Bangunan F54 UTM Johor Bahru. Sesi taklimat tersebut mensasarkan golongan pensyarah muda yang baru menyelesaikan pengajian PhD dalam tempoh lima (5) tahun. Program tersebut dihadiri hampir 125 orang pensyarah dari UTM dan UTHM.
Sesi taklimat disampaikan oleh Pengerusi Program MyMentor iaitu Prof. Graham Kendall yang juga merupakan CEO University of Nottingham Malaysia Campus (UNMC). Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut adalah delegasi MyMentor antaranya Prof. John McBridge, CEO University of Southampton Malaysia Campus (USMC), Prof. Madya Dr Suhaila Sanip (USMC) dan Cik Deepa Kumari Veerasingam (UNMC). Perwakilan UTM yang hadir diketuai oleh YBhg. Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin, Pengarah Kanan UTMLead dan turut disertai pengurusan UTM yang lain.
Program MyMentor ini telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada April 2015 yang lalu dan antara objektifnya membantu penyelidik muda yang baru memulakan kerjaya sebagai pensyarah untuk meningkatkan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi. Program ini adalah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi bersama tiga (3) universiti penyelidikan antarabangsa terkemuka yang mempunyai cawangan di Malaysia. Universiti berkenaan adalah University of Nottingham Malaysia Campus, University of Southampton Malaysia Campus dan Monash University Malaysia. Program ini dijalankan secara berpasangan dengan mentor/mentee untuk tempoh 24 bulan atau 12 bulan tertakluk kepada kelulusan Universiti masing-masing.
Selain UTM, delegasi MyMentor juga dalam rangka lawatan ke UA lain bagi mempromosikan program MyMentor bagi menyokong 230 pensyarah muda dalam tempoh lima (5) tahun dengan sasaran 350 penerbitan berimpak tinggi.
Klik link berikut untuk maklumat lanjut.