Dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi telah bersetuju untuk melaksanakan Program Educator 4.0 atau E-4.0 di peringkat Universiti Awam. Program ini merupakan satu usaha terfokus melahirkan 400 jurulatih/penggerak dalam kalangan Pensyarah Universiti Awam (UA) yang berkeupayaan:

  1. Menyedari keperluan untuk memikir semula pengajaran (rethinking teaching) & merekabentuk semula pembelajaran (redesigning learning) agar relevan dengan keperluan dan cara belajar Gen-Z.
  2. Memahami konsep Pendidikan 4.0 (Education 4.0) dan Pembelajaran 4.0 (Learning 4.0) yang sesuai dengan cabaran Revolusi Indsutri 4.0
  3. Mentransformasi pengajaran agar lebih interaktif dan menekankan pembelajaran aktif, imersif dan bermakna.
  4. Mengaplikasikan pendekatan Heutagogi yang menekankan pengalaman pembelajaran imersif maya (virtual learning experience).
  5. Mengaplikasikan pendekatan Heutagogi yang menekankan pengalaman pembelajaran imersif teradun (blended learning experience).
  6. Mengaplikasikan pendekatan Heutagogi yang menekankan pengalaman pembelajaran bersemuka (experiential Learning experience).

Program ini akan dikendalikan oleh pasukan jurulatih utama dari Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran, UKM yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Amin Embi dan fasilitator dalam kalangan ahli akademik profesional yang telah memenangi pelbagai anugerah pengajaran termasuk Anugerah Akademik Negara (AAN) dan Anugerah Pemikiran & Rekabentuk Semula Pendidikan Tinggi (APRS).

Setiap Universiti Awam akan mengenal pasti 20 orang pensyarah untuk terlibat dalam program ini yang akan melalui LIMA fasa latihan seperti berikut dalam tempoh 8 hingga 10 bulan.

Fasa Pertama (Online Training)
Peserta mengikuti dan melengkapkan MOOC bertajuk Rethinking Teaching; Redesigning Learning (RTRL) dalam tempoh 2-4 minggu dari tarikh pendaftaran.

Fasa Kedua (Online Training)
Peserta mengikuti dan melengkapkan MOOC bertajuk Heutagogy: The Art of Engaging the Digital Natives dalam tempoh 2-4 minggu dari tarikh pendaftaran.

Fasa Ketiga (Intensive Blended Training)
Peserta mengikuti Kursus Intensif E-4.0 selama 2 hari (jadual tentatif seperti di bawah).

Fasa Keempat (Online Training)
Peserta mengikuti dan melengkapkan MOOC yang telah dibangunkan bertajuk Social Media & Learning (SMiLe) dalam tempoh 2-4 minggu dari tarikh pendaftaran.

Fasa Kelima (Imersive)
Peserta mengikuti program sehari yang dinamakan Symposium E-4.0 di mana mereka berpeluang berkongsi amalan terbaik masing-masing serta berbincang tentang isu dan cabaran yang dihadapi.