Bandar Enstek Negeri Sembilan, 29 Julai 2018 – Seorang pelajar UTM iaitu Sdra. Zulhanafi bin Paiman yang sedang mengikuti pengajian peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal (Termobendalir) dan juga merupakan penerima Skim Latihan Akademik Muda (SLAM) telah berjaya terpilih menyertai program Southeast Asian Scholars for Higher Education Leadership (SEASHEL) 2018 yang akan diadakan pada 29 Julai hingga 7 Ogos 2018.
Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), KPM ini bertujuan memberi pendedahan, latihan serta kefahaman kepada peserta berkenaan cabaran dan keperluan dunia akademik dan industri.
Program ini akan membekalkan peserta dengan peluang berinteraksi dengan tokoh-tokoh universiti dan industri terpilih. Selain itu, program ini juga memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti dan translational research berimpak tinggi.
Di akhirnya, objektif program ini dapat membangunkan potensi pensyarah atau bakal pensyarah muda untuk melahirkan pemimpin pendidikan tinggi di masa hadapan.
Program ini dijalankan dalam dua (2) fasa iaitu Fasa I di AKEPT dan beberapa Universiti Awam (UA) terpilih pada 29 hingga 2 Ogos 2018 dan Fasa II bertempat di Chiang Rai, Thailand.
Ianya dibiayai sepenuhnya oleh pihak AKEPT dari termasuk penginapan, makan minum dan pengangkutan.