Pada 28 Ogos 2017 (ISNIN) yang lalu, Biro Sukan Kelab Keluarga UTMLead (Kapella) telah mengadakan aktiviti riadah sehat iaitu “TREASURE HUNT MERDEKA 2017” sempena kemerdekaan yang bakal tiba.

Aktiviti bermula pada jam 2.30 petang dimana semua peserta berkumpul di kawasan letak kenderaan di Balai Cerap UTM dan bergerak ke Taman Rekreasi UTM. Semua peserta diberikan taklimat ringkas oleh En. Muhamad Amri Fikri Ab. Jalil sebelum dibahagikan kepada kumpulan mengikut warna. Aktiviti ini melibatkan 5 Check Point disepanjang perjalanan daripada Taman rekreasi UTM hingga ke Puncak Balai Cerap UTM. Terima kasih diucapkan kepada En. Mohd Arshad Musa dan En. Mohd Reduan Mohd Ariff yang telah mengaturkan laluan dan cabaran “TREASURE HUNT MERDEKA 2017“. Semua kumpulan dimestikan untuk menyelesaikan tugasan pada setiap Check Point sebelum ke hentian selanjutnya. Pemenang dipilih daripada kumpulan yang paling pantas dan berjaya menyelesaikan aktiviti dengan tepat. 

Program “TREASURE HUNT MERDEKA 2017” ini telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi semangat dalam kalangan staf UTMLead bagi memahami erti perjuangan dan menghayati erti kemerdekaan selain daripada menyehatkan tubuh badan. Selaras dengan Tema Hari Kebangsaan ke 60 iaitu “Negaraku, Sehati Sejiwa“, meskipun hujan turun membasahi bumi namun kesemua peserta secara berpasukan tetap meneruskan perjalanan merentasi belantara, mengharungi laluan licin, basah dan curam sehingga selesai. Semoga aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim diantara staf serta menyemarakkan semangat kerja berpasukan bagi menyelesaikan semua aktiviti UTMLead pada masa akan datang.

Aktiviti berakhir pada jam 5.00 petang.

Muhamad Amri Fikri Ab. Jalil

Pembantu Tadbir, CALPD, UTMLead